Friday, September 17, 2010

HARI MALAYSIA-nostalgia buat Che gu Mazahar Abd Wahid


Che gu Mazahar Abd Wahid (kalau tak silap), guru kelas kawan pada 1963 di Sekolah Kebangsaan Kuala Pontian, Rompin, Pahang sekitar tahun 1963.

Waktu itu, pakaian seragam sekolah hanya berseluar pendek hitam dan berbaju putih, kasut putih dan berkaki ayam pun boleh bagi murid yang tidak mampu membeli kasut dengan syarat membasuh kaki sebelum masuk ke kelas.

Kawan masih ingat waktu itu, ada sebuah syarikat Jepun yang menjalankan kerja-kerja melombong bijih besi di ulu sungai Pontian, syarikat ini dengan murah hati menyumbangkan kasut sekolah, satu lori mereka hantar kasut ke sekolah, berebut-rebutlah murid-murid memilih kasut…….. nasib kawan malang sikit, terdapat kasut perempuan, saiz pulak besar, padan kaki emak kawan, mau tak mau pakai jugalah……. Bayangkan kalau sekarang ini ada murid yang pakai kasut perempuan, saiz besar pulak tu…..

Che gu Mazahar ini, selain menjadi guru kelas, beliau juga mengajar mata pelajara Bahasa Melayu, Ilmu Hisab (Matametik), Sejarah dan Sivik. Mata pelajaran Ilmu Alam oleh Che gu Wan Muhamad (Guru Besar waktu itu, sudah meninggal dunia di Kampung Nenasi) dan Bahasa Inggris oleh Che gu Abd Rahman (tak pernah jumpa lagi).

Peristiwa yang tidak boleh kawan lupa, sewaktu berlakunya konfrantasi antara Melaysia dan Indonesia merupakan satu penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia oleh Presiden Sukarno kerana cita-cita tingginya untuk menubuhkan Indonesia Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia terhalang akibat daripada pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. (boleh rujuk di sini)

Memandangkan sekolah kawan waktu itu berhampiran pantai laut Cina Selatan, maka semua murid dan guru-guru dikehendaki menggali lubang dihadapan sekolah untuk dijadikan kubu sebagai tempat berlindung jika berlaku serangan udara dari pihak Indonesia.

Suatu hari, maka loceng kecemasan dibunyikan, apa lagi bertaburan murid-murid lari menuju ke lubang kubu…….. bayangkanlah macam mana keadaanya waktu itu, takut dan sedih…... ada yang menangis bila teringatkan ibubapa, keluarga di rumah…

Yang kawan hairannya, mengapa murid-murid sahaja yang masuk ke dalam kubu sedangkan guru-guru tercegat berdiri di tepi kubu sambil ketawa……… rupa-rupanya hanya latihan sahaja..

Cuba bayangkan, kalau ianya benar-benar berlaku….. agaknya begitulah keadaannya kanak-kanak di Palestin ye……….

Berbalik kepada Che gu Mazahar, bagi kawan inilah guru bersama guru-guru lain bukan sahaja mendidik anak-anak bangsa di sekolah, malah di luar sekolah juga……

Apa tidaknya, Che gu Mazahar ini pada sebelah petangnya, dia kena pergi mengajar orang tua yang buta huruf, waktu itu dipanggil Sekolah Dewasa, boleh dikatakan 90% orang-orang tua, lelaki dan perempuan di kampung kawan buta huruf…….

Begitulah kesedaran pemimpin kerajaan selepas merdeka, pendidikan ilmu adalah sebagai tunggak untuk merobah nasib bangsa Melayu…….

Hobi kawan serta beberapa sahabat yang lain waktu itu suka sangat menangkap ikan ‘kekaring’ (ikan pelaga) di parit-parit tepi jalan dalam kampong. Entah apa malangnya, kawan terserempak dengan Che gu Mazahar yang ‘berbasikal’ (guru-guru waktu itu hanya memiliki basikal je… bukan macam sekarang..) sewaktu balik dari mengajar ‘Sekolah Dewasa’……

Apa lagi, kawan serta 2 sahabat terkencing-kencing dalam paya kena rotan….. balik rumah buat muka bodoh, tidak berani beritahu ibubapa, takut kena tambah lagi……. Sejak peristiwa itu, sehinggalah kawan dewasa tidak lagi merayau-rayau tidak tentu hala….

Begitulah pendidikan yang diberi oleh Che gu Mazahar, bukan sahaja di Sekolah, malah di luar sekolah juga, setiap anak muridnya dibuat macam anaknya sendiri, hukuman diberi sebagai satu pengajaran untuk mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna……. Setahu kawan ramai anak-anak muridnya menjadi manusia berguna, berjawatan tinggi dalam kerajaan, malah ada yang menjadi ushawan terkenal…..

Terima kasih Che gu…………………….. Selamat meyambut ‘ HARI MALAYSIA’



4 comments:

  1. apabila yang baik akan terus dikenang walaupun pahit............... SELAMAT HARI MALAYSIA........

    ReplyDelete
  2. Salam Yang Gambi..zaman anak CCZ sudah tidak lagi merasai sakitnya dirotan guru kerana nakal..Anak-anak sudah terlampau dimanjai sehingga akhirnya susah untuk dibentuk mengikut disiplin..

    ReplyDelete
  3. Salam AYG..

    Selamat Hari Raya..
    Bace artikal..teringat masa zaman kecik2..kena belasah dgn penyapu..nasib dah besar jd manusia..hehehe

    ReplyDelete
  4. Kalau ramai cikgu-cikgu sekarang macam cikgu ni, Selamatlah segalanya...

    ReplyDelete

Kalau anda sudi komen, silakan, tapi dengan penuh tanggungjawab...... terima kasih di atas komen anda..